Monday 21 April 2014

Pengalaman guru terbaik.

Teks : Rafizah Hamzah.


     Pengalaman tidak boleh dijual beli. Pengalaman adalah guru terbaik diri  seseorang. Setiap orang berbeza pengalaman.


    Sebagai  seorang surirumah sepenuh masa, kerjaya sebagai seorang tukang jahit dan guru tuisyen dalam satu masa agak mencabar kerana dalam  masa yang sama juga terpaksa menguruskan rumah tangga dan anak yang mula bersekolah. Pengalaman yang saya perolehi amat berharga. Pahit dan manis bertukar ganti.


  Masih segar dalam ingatan semasa mula-mula ambil tempahan menjahit. Macam-macam rasa ada. Lama juga tenung kain tersebut.  Takut hendak  potong sebab takut rosak atau salah potong. Tapi, saya nekad kalau tidak mencuba mana tahu kebolehan kita sampai setakat mana. Syukur, saya berjaya atasinya. Pelanggan puas hati dengan hasil jahitan saya. Yang paling saya tidak boleh lupa, saya menjahit gaun untuk majlis potong jambul anak saya dan baju bertunang adik saya.


     Namun setiap kemanisan kejayaan  pasti ada terselit kepahitan yang pasti menjadi pengajaran. Antara  pengalaman pahit pula  ialah bila saya  tersalah potong kain, kain terbakar semasa streka, kain untuk baju saya   jahit untuk kain dan sebagainya. Antara pengalaman  lain, saya pernah tidak tidur malam kerana menyiapkan upah  tulang  belut dari kedai jahit.


   Saya suka mencuba sesuatu yang baru, saya memberanikan diri untuk membuka kelas tuisyen di rumah. Suami sentiasa memberi galakan. Bahkan keperluan seperti ruang mengajar, meja, kerusi, papan tulis dan kipas syiling turut  disediakan oleh suami. Terasa saya  sangat bertuah kerana suami dapat memahami keinginan saya.


  Pilihan untuk membuka kelas tuisyen tidak salah. Kelas saya mendapat sambutan yang menggalakkan. Pernah saya terpaksa menolak permintaan ibubapa yang ingin menghantar anak mereka  kerana tidak  cukup tempat. Saya menempatkan seramai lapan hingga sepuluh orang dalam satu-satu masa. Pengalaman manis yang saya dapat dari membuka kelas tuisyen, ialah beberapa orang anak murid saya mendapat 5A, 4A 1B dan 3A. Sebagai guru tuisyen mereka,  saya berasa amat bangga. Pengalaman pahit pula, saya mengalami kerugian kerana ada ibubapa yang tidak membayar yuran. Ini kerana saya seorang yang agak berat mulut untuk bertanya dan meminta daripada ibubapa.


   Segala pengalaman pahit yang saya dapat saya terima dengan hati yang terbuka dan fikiran yang positif. Walaupun pada mulanya terasa ada ketidakadilan. Tapi mungkin itu bukan rezeki anak-anak saya.

Saturday 19 April 2014

Rutin hari cuti.

Teks : Rafizah Hamzah

     Hari ini hari cuti. Anak-anak pun tidak ke sekolah. Selepas suami ke tempat kerja, mata terkebil-kebil melihat melihat rumah yang kurang terurus beberapa hari ini. Adeh, banyak juga kerja yang perlu diselesaikan hari  ini.


   Baju yang sudah sebakul menanti untuk dibasuh dan dua  bakul untuk dilipat. Perabot yang mula menampakkan habuk sedang menunggu untuk dilap. Itu belum termasuk rutin harian yang biasa dilakukan seperti memasak, mencuci pinggan, melayan karenah anak-anak dan sebagainya. Dalam fikiran, ligat menyusun kerja yang mana perlu dilakukan dahulu.


     Alhamdulillah, jam lima petang baru dapat berehat setelah dari pagi tadi berhempas pulas menyiapkan kerja-kerja tersebut. Walaupun tidak seratus  peratus  siap tetapi banyak juga yang dapat disiapkan termasuk dua kerja yang tidak dirancang iaitu basuh kereta dan bilik air.


     Semasa  sedang duduk mencari idea, terfikir pula tentang hari cuti. Apa sebenarnya perkara yang sepatutnya kita lakukan pada hari cuti? Pasti banyak jawapan yang terlintas difikiran kita. Sudah semestinya kita telah merancangnya  dari awal lagi. Ada yang hendak membawa keluarga berjalan-jalan, berkelah atau keluar kota untuk merehatkan fikiran. Tidak kurang juga merancang untuk menguruskan rumah  tangga yang  terbiar sejak beberapa hari yang lalu, terutama  ibu-ibu yang bekerja.


    Jika difikirkan semula, hari cuti hanyalah pada nama. Selagi kita  bernyawa, kita tetap  akan bekerja, walau pun pada hari cuti. Seperti kata Labi dalam cerita Labu Labi " Selagi belum  tutup mata, kerja, kerja, kerja "


      Walau apa pun yang kita lakukan pada hari cuti, pastikan ia diisi dengan aktiviti yang bermanfaat. Kalau kita  mempunyai keluarga, bersantailah bersama mereka. Sekiranya kita  masih ada ibubapa, adalah lebih elok jika kita membawa keluarga menjenguk mereka  sementara mereka masih ada.

Tuesday 15 April 2014

Pengenalan Diri

Teks : Rafizah Hamzah

Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada rakan blog  semua.

   Saya, Rafizah Binti Hamzah, dilahirkan pada bulan Januari  1975, di  Johor Bahru. Telah mendirikan rumah tangga dengan Muhammad Hakim Chok, seorang penyayang dan amat memahami. Dikurniakan empat orang cahaya mata, dua orang lelaki iaitu Muhammad Aminul Arif 12 tahun, Muhammad Wan Ariffin 10 tahun dan dua orang perempuan iaitu Aisyah Maisara 4 tahun dan Aireen Qaisara 10 bulan. Kami adalah keluarga yang sederhana.

   Di usia begini saya masih mencari ruang dan  peluang perniagaan sama ada online atau offline. Pun begitu, jauh di sudut hati,  saya berharap agar dapat membuka sebuah kedai jahit atau butik suatu hari nanti.

    Sebelum ini saya pernah bekerja sebagai seorang kerani di syarikat perabot dan syarikat jurukur tanah. Saya berhenti kerja setelah mendapat anak  pertama dan menjadi surirumah sepenuh masa. Saya isi masa yang terluang dengan menjahit yang mudah-mudah seperti sarung bantal, bantal, alas meja dan sebagainya. Dengan berpandukan buku belajar jahitan,  saya beranikan diri menjahit baju kurung, baju kebaya dan baju melayu. 

     Setelah mendapat anak ke dua, kami telah berpindah rumah. Di  tempat baru, sekali lagi saya memberanikan diri membuka kelas tuisyen dan mengambil tempahan menjahit baju dan langsir. Dengan dua kerjaya tersebut, dapat sedikit membantu suami yang pada ketika itu pendapatan masih tidak menentu.

     Selepas kelahiran anak  ke tiga, saya ditawarkan bekerja sebagai seorang guru tadika yang berdekatan dengan rumah. Saya bernasib baik kerana dibenarkan membawa anak-anak ke sekolah. Pada tahun lepas, saya telah dikurniakan lagi seorang puteri. Oleh kerana kekangngan masa, saya berhenti membuka kelas tuisyen buat sementara kerana menumpukan perhatian kepada baby dan keluarga. Namun begitu saya masih mengajar di  sekolah dan mengambil tempahan dengan kadar yang sederhana.

     Walaupun mengajar dan menjahit adalah hobi dan minat saya di masa kini, namun saya sedar minat dan kemahiran yang ada adalah cita-cita dan impian semasa saya kecil.

     Membaca juga salah satu hobi saya dimasa lapang. Buku motivasi, kaunserling, kekeluargaan adalah bahan bacaan utama pilihan saya disamping buku jahitan dan masakan.

     Matlamat jangka pendek ialah, saya ingin mengumpul seberapa banyak ilmu, pengalaman dan maklumat melalui online sebelum memulakan perniagaan online atau  offline. Selain itu saya ingin menambah menambah ramai kenalan. Matlamat jangka panjang pula dapat membuka perniagaan dengan produk sendiri dan berjaya dimasa hadapan.