Friday 6 June 2014

Angan-angan dan cita-cita / Bahasa Malaysia

Teks: Rafizah Hamzah

Anda ingat tak, angan-angan sewaktu kecil? Yang seronoknya, apabila berangan, kita akan merealisasikan angan-angan kita pada waktu itu juga. Kalau kita berangan nak jadi cikgu, habis kawan-kawan akan jadi murid-murid kita. Kalau berangan nak jadi doktor, pasti ibu atau ayah akan menjadi mangsa pesakit kita. Saya sendiri pernah  berangan nak jadi tukang masak, saya sanggup meredah anak sungai menangkap ikan mata lalat dan habis rosak pokok bunga yang ditanam  ibu. Apa tidaknya, saya petik daun-daun untuk dijadikan lauk. Bukan itu sahaja periuk dan pinggan mangkuk ibu juga menjadi mangsa. 

Bagaimana pula dengan cita-cita anda. Adakah cita-cita anda telah tercapai? Yang pastinya, tidak semua cita-cita yang diharapkan suatu masa dahulu menjadi kenyataan. Kalau dulu kita bercita-cita hendak menjadi peguam, mungkin sekarang kita seorang guru. Mungkin juga jika dulu kita bercita-cita untuk menjadi seorang tukang jahit, tetapi kini bukan sahaja menjadi tukang jahit malah seorang usahawan butik yang berjaya.

Walauapa pun bidang kerjaya yang kita ceburi, buatlah dengan ikhlas dan sepenuh hati selagi ia tidak bercanggah dan menyalahi fitrah hidup manusia.

Hari ini, kita akan cuba untuk menulis sebuah karangan berbentuk cereka. Karangan cereka juga dikenali sebagai karangan pengisahan atau naratif. Ciri-ciri yang perlu ada dalam karangan cereka ini ialah mesti mempunyai peristiwa atau tema. Karangan ini perlu ada watak, tempat berlakunya peristiwa atau latar. Selain itu, ia juga perlu mempunyai sebab dan akibat dan yang paling penting ialah jalan cerita atau plot. Cerita yang ditulis perlu ada perasaan seperti kesal, geram, gembira atau sedih.



"Sekiranya Saya Menjadi Perdana Menteri." di bawah, saya sertakan contoh isi-isi penting yang boleh dijadikan panduan.

Pendahuluan:

Saya memang bercita-cita untuk menjadi Perdana Menteri pada suatu hari nanti.

Isi-isi:

.  Saya akan memastikan negara Malaysia akan terus maju dari segi pembangunan ekonomi, sosial dan budaya.

-  Saya mahu menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang penduduknya berpendidikan dan berpengetahuan luas.

-  Saya mahu menjadikan Malaysia terkenal diseluruh dunia sebagai sebuah negara maju.

-  Saya akan menitikberatkan pembangunan rohani dan masalah sosial.

-   Saya mahu Malaysia mempunyai hubungan baik dengan semua negara di dunia ini.

Penutup:

Saya berharap agar cita-cita saya akan tercapai pada suatu masa nanti.


Selamat mencuba dan nantikan jawapannya esok...


(untuk semak jawapan, sila lihat di ruangan comment)

1 comment:

  1. CONTOH JAWAPAN KARANGAN.

    SEKIRANYA SAYA MENJADI PERDANA MENTERI.

    Setiap orang mempunyai cita-cita. Demikian juga dengan saya. Saya memang bercita-cita untuk menjadi Perdana Menteri pada suatu hari nanti.

    Menjadi Perdana Menteri bukanlah suatu perkara yang mudah. Berjayanya sesebuah negara, bergantung kepada kewibawaan dan kepimpinan Perdana Menteri mereka.

    Jika saya menjadi Perdana Menteri, sudah pasti saya akan memastikan negara Malaysia akan terus maju dari segi pembangunan ekonomi, sosial dan budaya iaitu dengan membawa pelabur asing untuk berniaga di Malaysia dan memberi galakan kepada rakyat untuk berniaga di negara sendiri. Rakyat juga perlu bersatu padu dan saling kenal-mengenal budaya antara kaum-kaum di Malaysia tanpa mengira bangsa.

    Saya juga mahu menjadikan negara Malaysia sebagai sebuah negara yang penduduknya berpendidikan dan berpengetahuan luas. Saya mahu universiti-universiti di Malaysia menjadi pusat pendidikan yang terbaik di dunia yang dapat melahirkan cendiakawan-cendiakawan yang hebat dan terbilang di mata dunia.

    Saya mahu menjadikan negara Malaysia terkenal di seluruh dunia sebagai sebuah negara yang maju dan mempunyai budaya saing yang setaraf dengan negara-negara maju yang lain terutama dalam bidang ekonomi, pendidikan, perindustrian, pembangunan, pengangkutan dan lain-lain lagi.

    Selain itu, saya akan menitikberatkan pembangunan rohani dan masalah sosial. Pengisian rohani dengan mempunyai nilai-nilai murni yang baik, sedikit sebanyak akan dapat mengurangkan masalah sosial yang sering melanda negara ini. Ini kerana, jika masalah sosial tidak ditangani dengan bijak, ia akan merosakkan dan menjatuhkan sesebuah negara tersebut.

    Selain itu, saya juga akan pastikan Malaysia mempunyai hubungan yang baik dengan semua negara di dunia ini. Bukan sahaja Malaysia boleh membantu ketika mereka dalam kesusahan tetapi, mereka juga dapat membantu ketika negara kita di landa musibah.

    Saya berharap agar cita-cita saya akan tercapai pada suatu masa nanti. Saya tahu yang saya mesti belajar bersungguh-sungguh untuk mencapai cita-cita tersebut.


    ReplyDelete