Showing posts with label Catatan Harian. Show all posts
Showing posts with label Catatan Harian. Show all posts

Monday, 23 June 2014

Selamat Hari Lahir Sayang

Teks: Rafizah Hamzah.

Sudah seminggu saya tidak entry blog. Bukan apa, sibuk mengalahkan PM. Minggu lepas, sibuk siapkan tempahan langsir dan baju. Dan minggu lepas juga hari yang istimewa bagi saya sebagai seorang ibu kerana menyambut hari lahir anak-anak perempuan saya. Bunyinya macam ramai, kan. Tidaklah ramai cuma dua orang sahaja. 

Aireen Qaisara baru pertama kali menyambut hari lahirnya pada 19hb Jun. Mungkin selalu melihat rakan-rakan di sekolah menyambut hari lahir dengan memotong kek, dia juga seolah-olah teruja dengan sambutan untuk dirinya. Kami raikan hanya dengan jamuan kecil dan ringan sebab tiada perancangan.





Aisyah Maisara si kakak pula menyambut hari lahir yang ke empat pada 21hb Jun. Jamuan ringan kami raikan di rumah ibubapa saya bersama keluarga besar kami. 




Cadangnya kami ingin sambut serentak di rumah ibu bapa saya tetapi, memikirkan ini adalah kali pertama Aireen menyambutnya, kami raikan bersama keluarga di rumah. Kecoh juga rumah kami pada hari tersebut lebih-lebih lagi, Aireen yang baru bertatih menunjukkan keletahnya.

Jauh disudut hati, saya akui perasaan saya bercampur-baur melihat anak-anak membesar depan mata. Ada rasa sebak, sedih, sayu, gembira dan bahagia. Terasa adakalanya saya terlepas pandang saat-saat penting dalam hidup mereka. Masih belum puas rasanya saya mendakap, membelai, mencium mereka tau-tau saja mereka telah melangkah remaja. Masa benar-benar cepat berlalu pergi. Namun, anak-anak saya tetap menjadi anak kecil di hati saya sampai bila-bila. Walaupun saya tahu suatu hari nanti saya terpaksa melepaskan mereka.

Doa saya tidak pernah putus buat anak-anak saya Arif, Ariffin, Aisyah dan Aireen. Semoga mereka sentiasa diberi kesihatan yang baik, jadi anak yang soleh dan solehah, bijak dan pandai dalam semua perkara, murah rezeki, pemurah, bertanggungjawab, penuh kasih sayang dan yang paling penting sentiasa mendoakan untuk kami ibubapa mereka.

*  Kasih Mummy dan Daddy tetap tidak akan berubah. Kami sayang kalian hingga akhirat....Amin.


Kekasih pertama ku.

Teks: Rafizah Hamzah

Kau adalah lelaki pertama yang bertakhta  di hati. Kasih sayangmu terasa bergerak dalam setiap denyutan nadi dan hela nafas ini. Hingga kini aku masih menjadi puteri kecilmu walaupun aku telah jauh dewasa.

Maafkan aku jika kehadiran lelaki lain melukai hati kecil mu, namun masih ku ingat senyuman gembira mu tatkala menyerahkan aku kepada lelaki itu. Keampunan juga kupohon jika masih ada segaris luka yang masih tersisa dengan keterlanjuranku.

Ayah, terima kasih atas pahit jerih, penat lelah dan kasih sayang mu yang tidak berbelah bahagi yang tidak mungkin dapat ku balas. Dirimu tetap bertakhta dalam hati ini hingga ke mati. Akan kubawa kasih ini hingga akhirat. 

SELAMAT HARI BAPA,  AYAH......I LOVE YOU. 

*  Ya Allah, ampunilah segala dosa-dosa kedua ibubapa ku, kasihilah mereka seperti mana mereka mengasihi dan mengasihani aku semasa aku kecil dahulu. Berilah mereka kesihatan yang baik, ketenangan dan kebahagiaan, terimalah amal ibadat mereka dan makbulkanlah doa-doa mereka ....Amin.

Monday, 2 June 2014

Utamakan keselamatan.

Teks: Rafizah Hamzah

Apa perancangan anda hari ini? Pasti berazam hendak menyiapkan kerja-kerja yang tergendala semalam. Semalam, saya merancang untuk menyiapkan tempahan menjahit langsir. Tetapi tergendala. Hubby tetiba je balik....jeng jeng jeng. ..rupa-rupanya dia merancang hendak memasang awning. Hubby memang tidak ada kepakaran untuk membuat awning apatah lagi memasangnya. 

Walaupun kurang yakin, tetapi saya percaya dengan semangat dan keyakinannya dia boleh lakukan (cewah). Sebenarnya, dia memang pakar dalam pembuatan perabot. Perbezaan yang ada hanya perabot ialah kayu dan awning ialah besi. Mangsa utamanya ialah saya. Adeh, kerja ni memang memenatkan tapi apa boleh buat, tidak ada sesiapa yang boleh membantu.

Sebenarnya melakukan kerja-kerja pembinaan ini, perkara yang sangat perlu diutamakan ialah keselamatan (safety first) walaupun sekecil-kecil perkara perlu  diambil  kira. Kesilapan yang kecil,  boleh memberi impak besar jika diabaikan.

Sebagai contoh semalam, kesilapan saya hanya meletak soket di tepi anak tangga yang hubby pijak (sebenarnya hubby telah pesan, soket perlu di gantung sisi tangga). Dengan tidak sengaja, hubby yang mahu turun tangga, telah terpijak dan hampir jatuh dari tangga. Dan lebih teruk lagi, mesin drill yang dipegangnya telah terlepas dan nyaris  mengenai kepala saya yang berada dibawah. Ngerikan bila drill yang berat tu terhentak di kepala macam seketul batu besar menghentak kepala kita.

Sebagai peringatan, jauhi anak-anak daripada berdekatan dengan kawasan pembinaan. Mereka lebih terdedah dari bahaya. Anak-anak sebenarnya suka berada berdekatan dengan kita apabila kita bekerja. Mereka akan bermain berhampiran kita. Namun, bahaya paku yang bersepah akan tertusuk di kaki, pisau yang tajam dan barang-barang pembinaan yang bersepah boleh  buat mereka jatuh ketika bermain atau berlari. 

Apa yang penting, keselamatan perlu diutamakan dan kurangkan atau tiada langsung risiko kemalangan. 

Alhamdulillah semuanya telah siap jam tujuh malam semalam. Dan hari ini saya boleh meneruskan rancangan untuk menjahit tempahan langsir.

Sunday, 18 May 2014

Selamat Hari Guru.

Teks : Rafizah Hamzah.

Hari Guru setiap tahun disambut pada 16hb Mei. Semua sekolah tidak terkecuali. Rata-rata mereka berpendapat, hari  guru ialah hari memperingati jasa dan pengorbanan seorang guru yang telah mendidik dan mengajar  kita. Apa istimewanya hari guru sebenarnya? Sudah semestinya seorang guru dirai dengan penuh ceria dan  kasih sayang selain ucapan dan hadiah.

Ini adalah pendapat saya dari perspektif seorang guru. Mengajar dan mendidik bukanlah  sesuatu yang mudah. Lebih-lebih lagi  kami  adalah barisan  guru pertama yang membentuk dan melentur kanak-kanak ini. Kamilah barisan guru pertama yang  memperkenalkan mereka dengan huruf a,b,c, 1, 2, 3 dan pertama kali memegang pensel (belajar menulis).  Namun pada sesetengah orang di luar sana menganggap peranan kami sebagai seorang guru tadika adalah sangat kecil dan tidak mempunyai nilai.

Seperti ibu bapa, kami  juga menaruh harapan yang amat  tinggi  ketika mengajar iaitu mengharapkan  murid yang kami  ajar menjadi pandai. Seluruh pengetahuan, usaha dan tenaga dicurahkan pada murid tersebut. Namun tidak semua murid memiliki bakat dan kepandaian yang sama. Perkembangan awal setiap kanak-kanak adalah berbeza sama sekali. Ada yang cepat menerima pelajaran tak kurang juga yang amat lambat untuk menyerap apa yang telah diajar. 

Namun tidak dinafikan, ada juga  segelintir ibu bapa yang mempertikaikan kewibawaan kami sebagai seorang guru. Kadang kala, sesalahan terus diletakkan dibahu kami kerana anak mereka tidak pandai  dalam pelajaran dan gagal dalam peperiksaan. Di sinilah cabaran yang harus di galas  oleh kami. Kesabaran dan rasa penuh tanggugjawab tidak  pernah kami abaikan.

Walauapapun pandangan dan tanggapan  ibubapa dan orang di luar sana  terhadap  kami, ia tidak sedikit pun dapat  mematahkan semangat kami untuk terus menjadi guru dibarisan pertama. Kami amat bangga kerana kamilah yang memulakan langkah mereka. Kami amat berterima kasih kepada ibu bapa yang percayakan kemampuan kami untuk mendidik dan membimbing anak mereka.

Akhir sekali dengan rasa hormat dan rendah diri  saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada guru-guru yang  pernah mendidik dan membimbing saya. Jasa kalian tidak pernah saya lupakan dan saya hargai hingga akhir nanti. Tidak lupa juga buat guru-guru dan teman seperjuangan teruskan usaha mendidik dan membimbing anak watanmu......

SELAMAT HARI GURU.

Terima kasih ibu.

Teks : Rafizah Hamzah

Sebenarnya sambutan hari ibu setiap hari  tidak mencukupi apatah lagi setahun sekali. Adakah setimpal ingatan setahun sekali kepada ibu yang melahirkan kita. Ibu patut kita rai setiap hari sebagai mana  mereka merai kita setiap hari  dengan  hidangan makanan dan minuman, pakaian bersih, keselesaan, rasa selamat dan kesihatan  setiap  hari.

Pada  tahun ini sebenarnya kami adik beradik, masing-masing belum ada perancangan untuk sambutan hari ibu kerana masih ada dua hari sebelum hari ibu. Kami biasa merancang pada saat-saat akhir.

Namun secara kebetulan dan tanpa dirancang, saya yang hendak ke klinik, singgah di rumah ibu. Adik memang telah merancang untuk memotong kek sahaja buat ibu. Adik-adik  yang lain datang membawa mee dan kuih.  Sepulangnya saya dari klinik, kami singgah membeli sate. Jadinya kami sambut hari ibu dua hari lebih awal.

Saya sendiri sebagai seorang ibu setiap tahun pasti menerima kad ucapan daripada dua orang anak saya, kerana dua orang lagi masih  kecil.

Saya amat bahagia menjadi seorang ibu. Impian saya, sebagai seorang ibu ingin melihat setiap kejayaan anak-anak saya. Harapan saya agar mereka menjadi seorang yang berpegang teguh kepada agama, bertanggungjawab, berwibawa, mempunyai hati yang murni, saling menyayangi antara satu sama lain dan tidak pernah lupa kami ibu bapanya,  di dalam doa mereka.

Harapan saya juga agar dapat menjadi seorang ibu mithali, penyayang, pelindung, sahabat dan teman ketika mereka susah dan senang.

Kepada ibu-ibu di luar sana, walaupun agak lambat, saya ingin mengucapkan selamat hari ibu semoga menjadi ibu mithali dan anak-anak kita menjadi anak yang solehah. Tidak lupa kepada ibu saya, terima kasih ibu atas pengorbanan mu selama ini.

Terima kasih ibu.

Saturday, 19 April 2014

Rutin hari cuti.

Teks : Rafizah Hamzah

     Hari ini hari cuti. Anak-anak pun tidak ke sekolah. Selepas suami ke tempat kerja, mata terkebil-kebil melihat melihat rumah yang kurang terurus beberapa hari ini. Adeh, banyak juga kerja yang perlu diselesaikan hari  ini.


   Baju yang sudah sebakul menanti untuk dibasuh dan dua  bakul untuk dilipat. Perabot yang mula menampakkan habuk sedang menunggu untuk dilap. Itu belum termasuk rutin harian yang biasa dilakukan seperti memasak, mencuci pinggan, melayan karenah anak-anak dan sebagainya. Dalam fikiran, ligat menyusun kerja yang mana perlu dilakukan dahulu.


     Alhamdulillah, jam lima petang baru dapat berehat setelah dari pagi tadi berhempas pulas menyiapkan kerja-kerja tersebut. Walaupun tidak seratus  peratus  siap tetapi banyak juga yang dapat disiapkan termasuk dua kerja yang tidak dirancang iaitu basuh kereta dan bilik air.


     Semasa  sedang duduk mencari idea, terfikir pula tentang hari cuti. Apa sebenarnya perkara yang sepatutnya kita lakukan pada hari cuti? Pasti banyak jawapan yang terlintas difikiran kita. Sudah semestinya kita telah merancangnya  dari awal lagi. Ada yang hendak membawa keluarga berjalan-jalan, berkelah atau keluar kota untuk merehatkan fikiran. Tidak kurang juga merancang untuk menguruskan rumah  tangga yang  terbiar sejak beberapa hari yang lalu, terutama  ibu-ibu yang bekerja.


    Jika difikirkan semula, hari cuti hanyalah pada nama. Selagi kita  bernyawa, kita tetap  akan bekerja, walau pun pada hari cuti. Seperti kata Labi dalam cerita Labu Labi " Selagi belum  tutup mata, kerja, kerja, kerja "


      Walau apa pun yang kita lakukan pada hari cuti, pastikan ia diisi dengan aktiviti yang bermanfaat. Kalau kita  mempunyai keluarga, bersantailah bersama mereka. Sekiranya kita  masih ada ibubapa, adalah lebih elok jika kita membawa keluarga menjenguk mereka  sementara mereka masih ada.