Sunday 18 May 2014

Selamat Hari Guru.

Teks : Rafizah Hamzah.

Hari Guru setiap tahun disambut pada 16hb Mei. Semua sekolah tidak terkecuali. Rata-rata mereka berpendapat, hari  guru ialah hari memperingati jasa dan pengorbanan seorang guru yang telah mendidik dan mengajar  kita. Apa istimewanya hari guru sebenarnya? Sudah semestinya seorang guru dirai dengan penuh ceria dan  kasih sayang selain ucapan dan hadiah.

Ini adalah pendapat saya dari perspektif seorang guru. Mengajar dan mendidik bukanlah  sesuatu yang mudah. Lebih-lebih lagi  kami  adalah barisan  guru pertama yang membentuk dan melentur kanak-kanak ini. Kamilah barisan guru pertama yang  memperkenalkan mereka dengan huruf a,b,c, 1, 2, 3 dan pertama kali memegang pensel (belajar menulis).  Namun pada sesetengah orang di luar sana menganggap peranan kami sebagai seorang guru tadika adalah sangat kecil dan tidak mempunyai nilai.

Seperti ibu bapa, kami  juga menaruh harapan yang amat  tinggi  ketika mengajar iaitu mengharapkan  murid yang kami  ajar menjadi pandai. Seluruh pengetahuan, usaha dan tenaga dicurahkan pada murid tersebut. Namun tidak semua murid memiliki bakat dan kepandaian yang sama. Perkembangan awal setiap kanak-kanak adalah berbeza sama sekali. Ada yang cepat menerima pelajaran tak kurang juga yang amat lambat untuk menyerap apa yang telah diajar. 

Namun tidak dinafikan, ada juga  segelintir ibu bapa yang mempertikaikan kewibawaan kami sebagai seorang guru. Kadang kala, sesalahan terus diletakkan dibahu kami kerana anak mereka tidak pandai  dalam pelajaran dan gagal dalam peperiksaan. Di sinilah cabaran yang harus di galas  oleh kami. Kesabaran dan rasa penuh tanggugjawab tidak  pernah kami abaikan.

Walauapapun pandangan dan tanggapan  ibubapa dan orang di luar sana  terhadap  kami, ia tidak sedikit pun dapat  mematahkan semangat kami untuk terus menjadi guru dibarisan pertama. Kami amat bangga kerana kamilah yang memulakan langkah mereka. Kami amat berterima kasih kepada ibu bapa yang percayakan kemampuan kami untuk mendidik dan membimbing anak mereka.

Akhir sekali dengan rasa hormat dan rendah diri  saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada guru-guru yang  pernah mendidik dan membimbing saya. Jasa kalian tidak pernah saya lupakan dan saya hargai hingga akhir nanti. Tidak lupa juga buat guru-guru dan teman seperjuangan teruskan usaha mendidik dan membimbing anak watanmu......

SELAMAT HARI GURU.

No comments:

Post a Comment