Saturday, 19 April 2014

Rutin hari cuti.

Teks : Rafizah Hamzah

     Hari ini hari cuti. Anak-anak pun tidak ke sekolah. Selepas suami ke tempat kerja, mata terkebil-kebil melihat melihat rumah yang kurang terurus beberapa hari ini. Adeh, banyak juga kerja yang perlu diselesaikan hari  ini.


   Baju yang sudah sebakul menanti untuk dibasuh dan dua  bakul untuk dilipat. Perabot yang mula menampakkan habuk sedang menunggu untuk dilap. Itu belum termasuk rutin harian yang biasa dilakukan seperti memasak, mencuci pinggan, melayan karenah anak-anak dan sebagainya. Dalam fikiran, ligat menyusun kerja yang mana perlu dilakukan dahulu.


     Alhamdulillah, jam lima petang baru dapat berehat setelah dari pagi tadi berhempas pulas menyiapkan kerja-kerja tersebut. Walaupun tidak seratus  peratus  siap tetapi banyak juga yang dapat disiapkan termasuk dua kerja yang tidak dirancang iaitu basuh kereta dan bilik air.


     Semasa  sedang duduk mencari idea, terfikir pula tentang hari cuti. Apa sebenarnya perkara yang sepatutnya kita lakukan pada hari cuti? Pasti banyak jawapan yang terlintas difikiran kita. Sudah semestinya kita telah merancangnya  dari awal lagi. Ada yang hendak membawa keluarga berjalan-jalan, berkelah atau keluar kota untuk merehatkan fikiran. Tidak kurang juga merancang untuk menguruskan rumah  tangga yang  terbiar sejak beberapa hari yang lalu, terutama  ibu-ibu yang bekerja.


    Jika difikirkan semula, hari cuti hanyalah pada nama. Selagi kita  bernyawa, kita tetap  akan bekerja, walau pun pada hari cuti. Seperti kata Labi dalam cerita Labu Labi " Selagi belum  tutup mata, kerja, kerja, kerja "


      Walau apa pun yang kita lakukan pada hari cuti, pastikan ia diisi dengan aktiviti yang bermanfaat. Kalau kita  mempunyai keluarga, bersantailah bersama mereka. Sekiranya kita  masih ada ibubapa, adalah lebih elok jika kita membawa keluarga menjenguk mereka  sementara mereka masih ada.

No comments:

Post a Comment