Monday, 21 April 2014

Pengalaman guru terbaik.

Teks : Rafizah Hamzah.


     Pengalaman tidak boleh dijual beli. Pengalaman adalah guru terbaik diri  seseorang. Setiap orang berbeza pengalaman.


    Sebagai  seorang surirumah sepenuh masa, kerjaya sebagai seorang tukang jahit dan guru tuisyen dalam satu masa agak mencabar kerana dalam  masa yang sama juga terpaksa menguruskan rumah tangga dan anak yang mula bersekolah. Pengalaman yang saya perolehi amat berharga. Pahit dan manis bertukar ganti.


  Masih segar dalam ingatan semasa mula-mula ambil tempahan menjahit. Macam-macam rasa ada. Lama juga tenung kain tersebut.  Takut hendak  potong sebab takut rosak atau salah potong. Tapi, saya nekad kalau tidak mencuba mana tahu kebolehan kita sampai setakat mana. Syukur, saya berjaya atasinya. Pelanggan puas hati dengan hasil jahitan saya. Yang paling saya tidak boleh lupa, saya menjahit gaun untuk majlis potong jambul anak saya dan baju bertunang adik saya.


     Namun setiap kemanisan kejayaan  pasti ada terselit kepahitan yang pasti menjadi pengajaran. Antara  pengalaman pahit pula  ialah bila saya  tersalah potong kain, kain terbakar semasa streka, kain untuk baju saya   jahit untuk kain dan sebagainya. Antara pengalaman  lain, saya pernah tidak tidur malam kerana menyiapkan upah  tulang  belut dari kedai jahit.


   Saya suka mencuba sesuatu yang baru, saya memberanikan diri untuk membuka kelas tuisyen di rumah. Suami sentiasa memberi galakan. Bahkan keperluan seperti ruang mengajar, meja, kerusi, papan tulis dan kipas syiling turut  disediakan oleh suami. Terasa saya  sangat bertuah kerana suami dapat memahami keinginan saya.


  Pilihan untuk membuka kelas tuisyen tidak salah. Kelas saya mendapat sambutan yang menggalakkan. Pernah saya terpaksa menolak permintaan ibubapa yang ingin menghantar anak mereka  kerana tidak  cukup tempat. Saya menempatkan seramai lapan hingga sepuluh orang dalam satu-satu masa. Pengalaman manis yang saya dapat dari membuka kelas tuisyen, ialah beberapa orang anak murid saya mendapat 5A, 4A 1B dan 3A. Sebagai guru tuisyen mereka,  saya berasa amat bangga. Pengalaman pahit pula, saya mengalami kerugian kerana ada ibubapa yang tidak membayar yuran. Ini kerana saya seorang yang agak berat mulut untuk bertanya dan meminta daripada ibubapa.


   Segala pengalaman pahit yang saya dapat saya terima dengan hati yang terbuka dan fikiran yang positif. Walaupun pada mulanya terasa ada ketidakadilan. Tapi mungkin itu bukan rezeki anak-anak saya.

No comments:

Post a Comment