Sebenarnya sambutan hari ibu setiap hari tidak mencukupi apatah lagi setahun sekali. Adakah setimpal ingatan setahun sekali kepada ibu yang melahirkan kita. Ibu patut kita rai setiap hari sebagai mana mereka merai kita setiap hari dengan hidangan makanan dan minuman, pakaian bersih, keselesaan, rasa selamat dan kesihatan setiap hari.
Pada tahun ini sebenarnya kami adik beradik, masing-masing belum ada perancangan untuk sambutan hari ibu kerana masih ada dua hari sebelum hari ibu. Kami biasa merancang pada saat-saat akhir.
Namun secara kebetulan dan tanpa dirancang, saya yang hendak ke klinik, singgah di rumah ibu. Adik memang telah merancang untuk memotong kek sahaja buat ibu. Adik-adik yang lain datang membawa mee dan kuih. Sepulangnya saya dari klinik, kami singgah membeli sate. Jadinya kami sambut hari ibu dua hari lebih awal.
Saya sendiri sebagai seorang ibu setiap tahun pasti menerima kad ucapan daripada dua orang anak saya, kerana dua orang lagi masih kecil.
Saya amat bahagia menjadi seorang ibu. Impian saya, sebagai seorang ibu ingin melihat setiap kejayaan anak-anak saya. Harapan saya agar mereka menjadi seorang yang berpegang teguh kepada agama, bertanggungjawab, berwibawa, mempunyai hati yang murni, saling menyayangi antara satu sama lain dan tidak pernah lupa kami ibu bapanya, di dalam doa mereka.
Harapan saya juga agar dapat menjadi seorang ibu mithali, penyayang, pelindung, sahabat dan teman ketika mereka susah dan senang.
Kepada ibu-ibu di luar sana, walaupun agak lambat, saya ingin mengucapkan selamat hari ibu semoga menjadi ibu mithali dan anak-anak kita menjadi anak yang solehah. Tidak lupa kepada ibu saya, terima kasih ibu atas pengorbanan mu selama ini.
Terima kasih ibu.
No comments:
Post a Comment