Anak-anak yang bersekolah pada masa kini, amat besar cabarannya. Dulu, masa zaman saya sekolah, balik dari sekolah agama, selepas mandi dan siapkan kerja sekolah, saya akan keluar bermain. Permainan kegemaran saya ialah menunggang basikal atau merayau (seluruh kampung) aktiviti lasak yang saya buat antaranya ialah meredah belukar dan menangkap ikan di alur air. Hari hujan adalah hari yang paling saya gembira kerana dapat bermain air. Saya akan duduk dibawah bukit menunggu air dari atas bukit jatuh.
Tetapi di zaman serba moden dan zaman IT ini aktiviti ini sudah berkurangan. Mungkin hanya terdapat di luar bandar sahaja. Kanak-kanak di zaman ini lebih gemar menghabiskan masa di depan kaca televisyen atau komputer bermain 'game'.
Namun tidak kurang juga yang sibuk dengan aktiviti sekolah, kokurikulum, kelas tuisyen, kelas muzik, kelas taekwondo dan berbagai aktiviti luar yang dirasakan sesuai oleh ibu bapa mereka. Jadual harian mereka penuh seolah-olah tiada lagi ruang untuk berehat atau beriadah.
Kebanyakkan dari murid yang datang ke kelas tuisyen saya berada dalam keadaan agak keletihan kerana seharian dengan aktiviti sekolah, kokurikulum, sukan dll. Anak saya sendiri menolak untuk ke kelas tuisyen. Alasan yang diberikan, kalau abang ke kelas tuisyen, mana ada masa nak buat kerja sekolah. Kenapa saya hendak menghantar anak saya ke kelas tuisyen? Tahun ini anak saya akan menduduki peperiksaan UPSR lagi pula anak saya sekolah bukan aliran melayu. Jadi agak sukar untuk saya bimbing dia belajar kecuali Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris.
Sebagai seorang ibu, sudah pasti menginginkan anak yang terbaik, pandai, rajin dan semuanya sempurna. Namun saya mengukur kemampuan anak saya mengikut apa yang dia mampu dilakukan. Saya tidak meletakkan harapan yang terlalu tinggi dalam pelajarannya. Apa yang saya mahu ialah seorang anak yang mempunyai jati diri yang kuat, iman yang teguh, bertanggugjawab, sayang keluarga dan rajin berusaha.
Baiklah sebagai permulaan kelas tuisyen, apa kata kita mulakan dengan beberapa bidalan.
Apa itu bidalan? Bidalan merupakan kata-kata yang digunakan dalam masyarakat Melayu dengan tujuan memberi nasihat, teladan dan pengajaran.
Berjagung-jagung dahulu sementara menanti padi masak.
Ertinya: Buat kerja lain sebelum mendapat kerja yang lebih bagus atau menggunakan barang yang kurang baik dahulu sementara menunggu barang baik.
Enggang lalu ranting patah.
Ertinya: Seseorang yang mendapat susah kerana secara kebetulan.
Jangan bijak terpijak, biar bodoh bersuluh.
Ertinya: Jangan berlagak pandai kerana sikap itu tidak disenangi dan sebaik-baiknya biar bodoh dan selalu bertanya sebab itu akan membawa kejayaan.
Sebesar-besar bumi, ditampar tidak kena.
Perkara yang nampak sahaja mudah tetapi sukar menyelesaikannya.
Sudah calit jangan palit.
Jika diri sendiri yang melakukan kejahatan atau kesalahan, jangan membabitkan orang lain yang tiada kaitan.
Sekian untuk hari ini.
No comments:
Post a Comment