Wednesday 11 June 2014

Langkah-langkah pengendalian alat elektrik / Sains

Teks: Rafizah Hamzah.

Di zaman teknologi canggih kini, elektrik amat penting dalam kehidupan seharian. Boleh dikatakan hidup kita tidak lengkap jika tidak ada elektrik. Kalau masa 'blackout' rasa macam mati kutu kita dibuatnya kan. Apa tidaknya dari memasak, mencuci dan mengemas elektriklah sumbernya. Bukan itu sahaja berblog pun kena guna elektrik.

Di sini saya tuliskan sedikit penerangan ringkas tentang tenaga elektrik. Anak-anak sekolah rendah boleh baca dan ambil nota. Mummy atau Daddy boleh baca dengan santai  untuk tambah sedikit pengetahuan.

SUMBER TENAGA ELEKTRIK.

Sumber tenaga elektrik terdiri daripada sel kering iaitu menghasilkan sumber tenaga yang sedikit. Ia digunakan dalam alat elektrik yang kecil seperti lampu suluh, radio, kamera, jam dan kereta mainan.  Akumulator ( bateri ) pula digunakan pada kenderaan seperti lori, kereta dan motosikal. Dinamo pula biasa digunakan pada basikal untuk menyalakan lampu basikal. Sel solar juga dikenali sebagai Sel Suria. Sel Suria ini menukarkan tenaga cahaya kepada tenaga elektrik. Selain daripada digunakan pada kalkulator, ia juga membekalkan tenaga elektrik dirumah dan membekalkan tenaga elektrik kepada satelit di angkasa lepas. Jana kuasa hidroelektrik  dan  jana kuasa elektrik.

Arus elektrik hanya dapat mengalir dalam satu litar elektrik yang lengkap. Litar elektrik ialah laluan arus elektrik dari sumber tenaga elektrik ke alat elektrik dan balik semuka ke sumber tersebut. Litar elektrik yang ringkas, terdiri daripada sumber kuasa (sel kering) untuk membekalkan tenaga. Wayar penyambung untuk mengalirkan arus elektrik / menyambung komponen lain. Mentol untuk memancarkan cahaya dan suis pula untuk mengalirkan atau memutuskan aliran arus elektrik. 

Terdapat dua jenis litar elektrik yang disambung iaitu litar bersiri dan litar selari. Dalam litar bersiri, mentol-mentol disusun secara bersiri iaitu bersebelahan antara satu dengan yang lain dalam laluan yang sama. Litar selari pula, mentol-mentol disusun selari iaitu dalam laluan yang berlainan. Dalam rumah kita, litar disambungkan secara selari kerana apabila satu komponen dalam litar rosak, komponen yang lain akan masih berfungsi.

CARA MENGENDALIKAN ALAT ELEKTRIK DENGAN BETUL.

Langkah-langkah yang betul mesti diambil apabila menggunakan alat-alat elektrik. Pengendalian alat-alat elektrik secara tidak betul akan menyebabkan kecederaan seperti kejutan elektrik, kebakaran, renjatan elektrik dan melecur.

Antara langkah yang perlu diambil semasa menggunakan alat elektrik adalah seperti berikut :-
a)   Jangan sentuh alat elektrik dengan tangan yang basah.
b)   Jangan sentuh suis dengan tangan yang basah.
c)   Jangan guna alat elektrik yang rosak.
d)   Jangan guna alat elektrik yang mempunyai wayar penyambung yang rosak.
e)   Jangan memasukkan objek ke dalam bekalan kuasa elektrik.
f)   Jangan memperbaiki alat elektrik yang rosak.
g)  Jangan menyambung terlalu banyak alat elektrik pada satu plug.

Jika seseorang terkena kejutan elektrik, jangan sentuh mangsa. Guna penebat seperti getah atau plastik untuk mengendalikan mangsa kejutan elektrik untuk mencegah kita daripada terkena kejutan elektrik juga.     


No comments:

Post a Comment