Monday 9 June 2014

"Mahalnya upah tempahan awak.."

Teks: Rafizah Hamzah.

Anda pernah menjahit? Bagi tukang jahit, mesti jawapannya pernah. Bagi bukan tukang jahit pulak, mesti jawab pernah juga. Betullah tu, kalau jahit pakaian koyak atau lencana anak pun dikira jahit juga. Tapi, maksud saya disini, sebidang kain yang sekeping dipotong, dicantum menjadi sepasang  baju,  langsir dan  lain-lain..

Pernah atau tidak anda persoalkan harga baju atau langsir tersebut? Apa pendapat anda yang tidak tahu menjahit, dengan harga yang ditawarkan? Ada yang merunggut, baju kanak-kanak hampir sama harga tempahan dengan baju orang dewasa.

Baju kanak-kanak sebenarnya lebih rumit dari baju orang dewasa kerana saiznya yang kecil dan ada kalanya agak sukar untuk menjahit menggunakan mesin terutama dibahagian sauk lengan, leher dan zip.  Sebenarnya proses menjahitnya sama kena ukur, potong, jahit tepi dan jahit. Tidak hairanlah harga baju kanak-kanak yang siap dijual sama dengan harga baju orang dewasa.

Sebenarnya fikiran tukang jahit sangat ligat berfikir ketika memegang kain. Setuju tak kenkawan? Selalunya  kita perlu memastikan warna benang yang sesuai, corak yang bertepatan, cara memotong yang betul untuk mengelakkan kain tidak cukup, ukuran yang betul agar pelanggan selesa memakainya dan yang penting, jahitan haruslah nampak cantik dan kemas.

Ada jenis kain yang agak rumit untuk dipotong dan dijahit. Biasanya kain jenis ini adalah yang licin dan lembut seperti satin, sutera, shiffon, lycra dan sebagainya. Untuk menjahit kain jenis ini sebenarnya perlu diberi tumpuan sepenuhnya dan perlu ada teknik yang betul  untuk mendapatkan hasil yang cantik dan kemas  kerana sifatnya yang licin dan lembut agak sukar ketika menjahitnya.

Pelanggan juga selalu merunggut kerana harga alteration hampir sama atau lebih mahal daripada harga tempahan. Tahukah anda, bahawa proses alteration juga memerlukan kerja dua kali ganda kerana benang-benang perlu ditetas, setelah itu saiz perlu di ukur dan dipotong semula mengikut kehendak pelanggan dan barulah dijahit semula. Proses ini memakan masa lebih daripada menghasilkan jahitan biasa.

Antara lain faktor-faktor yang menyebabkan tempahan menjadi mahal ialah, masa yang diminta oleh pelanggan biasanya agak singkat. Ada pelanggan yang hantar hari ini, mahu ambil keesokkan harinya. Masa rehat, memasak, mengemas dan masa yang telah diperuntukan untuk keluarga telah diganti dengan menyiapkan tempahan. Rasanya adilkan jika harga tempahan dinaikkan sedikit.

Harga sewa kedai ( bagi kedai jahit ), benang, kun, upah tulang belut, zip, getah, elektrik yang semakin tinggi kosnya juga antara sebab kenapa upah tempahan mahal.

Dengan sedikit penjelasan di atas, apa pandangan anda? Rasanya mahal atau tidak harga upah tempahan yang ditawarkan? Berbaloikah harga jika pakaian anda nampak kemas dan cantik? Persoalannya pernahkah anda menjahit? Cubalah jahit pakaian sendiri. Tidak salah jika kita mencuba, kan? Manalah tahu anda sebenarnya memang berbakat dalam bidang jahitan.




No comments:

Post a Comment