Wednesday 4 June 2014

Masa itu emas / Matematik

Teks: Rafizah Hamzah.

Kata orang dulu-dulu masa itu emas. Betul ke? Tentulah jawapannya bukan. Itu cuma perumpamaan. Apa yang cuba dinyatakan ialah, masa kita amat berharga seumpama emas. Tetapi yang peliknya, kenapa orang selalu buang masa, tetapi tidak pula emas. Mungkin masa bukanlah sesuatu yang boleh dipegang dan nampak bernilai seperti emas. 

Allah telah beri kita setiap seorang masa yang sama iaitu 24 jam. Persoalannya ialah, berapa jamkah yang kita gunakan untuk melakukan perkara-perkara yang bermanfaat. Orang yang sibuk atau rajin tahu manfaatkan masa. 24 jam memang tidak mencukupi bagi mereka tetapi, orang yang malas, hanya akan  melihat  dan menghitung masa berlalu tanpa ada rasa.

Jom kita cuba lagi selesaikan soalan matematik di bawah :-


SOALAN MATEMATIK.

Soalan 1.
Sebuah bas bertolak dari Kuala Lumpur ke Johor Bahru pada jam 1030. Perjalanan itu mengambil masa 5 jam 45 minit. Nyatakan waktu bas itu tiba di Johor Bahru dalam sistem 24 jam.


Soalan 2.
Nyatakan pukul 10.05 p.m. dalam sistem 24 jam.


Soalan 3.
Sebuah kereta api mengambil  masa 11 1/2 jam untuk perjalanan dari bandar P ke bandar Q. Jika kereta api itu bertolak dari bandar P pada pukul 8.45 p.m. hari Khamis, bilakah kereta api itu sampai di bandar Q?


Soalan 4.
Selisih umur antara Zaidi dan abangnya ialah 21 bulan. Hitungkan umur Zaidi jika umur abangnya ialah 15 tahun.


Soalan 5.
Pada tahun 2004, Puspa menyimpan RM 0.45 setiap hari pada bulan Febuari dan Mac. Berapakah jumlah wang yang disimpannya dalam tempoh 2 bulan itu?


Selamat mencuba.

( untuk semak jawapan, sila lihat di bahagian comment )


1 comment:

  1. JAWAPAN MATEMATIK.

    Soalan 1:

    Bertolak = 10.30 pagi hingga 12.00 petang = 1 jam 30 min

    Masa perjalanan = 5 jam 45 min - 1 jam 30 min = 4 jam 15 min ( tiba : 4.15 ptg)

    Waktu dlm sistem 24 jam = Jam 0415 + Jam 1200 = Jam 1615


    Soalan 2:

    10.05 p.m dalam sistem 24 jam = Jam 1005 + Jam 1200 = Jam 2205


    Soalan 3:

    Bertolak dari P ( 8.45 mlm Khamis ) = 8.45 mlm hingga 12.00 pagi = 3 jam 15 min

    Masa perjalanan = 11 jam 30 min - 3 jam 15 min = 8 jam 15 min

    Tiba di Q = 8.15 pagi hari Jumaat.


    Soalan 4:

    21 bulan = 1 tahun 9 bulan

    15 tahun = 14 tahun 12 bulan

    * untuk memudahkan pengiraan, tukarkan/pecahkan kepada tahun dan bulan

    Umur Zaidi = 14 tahun 12 bulan - 1 tahun 9 bulan = 13 tahun 3 bulan


    Soalan 5:

    Pada tahun 2004 adalah tahun lompat.

    Febuari 2004 ( 29 hari ) = RM 0.45 X 29 = RM 13.05

    Mac 2004 ( 31 hari ) = RM 0.45 X 31 = RM 13.95

    Simpanan bulan Febuari dan Mac 2004 = RM 13.05 + RM 13.95 = RM 27.00






    ReplyDelete